Thursday, March 11, 2021

Mengenal Sosok Sastrawan (Singapura) Noor Hasnah Adam (NHA)


Noor Hasnah Adam (NHA). Tahun 1998 adalah mula ia serius menulis cerpen dan puisi semenjak mengikuti kursus latihan guru di Institut Pendidikan Nasional kampus Townsville. Semenjak itu dia telah memenangi beberapa anugerah peringkat negeri: Anugerah Sastera Cerpen - Remaja pada 2001, Anugerah Sastera Penghargaan (Cerpen) pada 2003, Anugerah Sastera Buku Cerpen pada 2009. 

Pada 2001, NHA memenangi tempat kedua Anugerah Pena Emas (Cerpen) dan tempat kedua Anugerah Pena Emas (Puisi) pada tahun 2007. Anugerah Pena Emas dianjurkan oleh NAC, Majlis Seni Kebangsaan. Pada tahun 2008, NHA telah dianugerahkan Anugerah Belia Harapan Goh Chock Tong (Cemerlang) kerana sumbangan dalam persuratan, pendidikan dan cemerlang dalam pelajaran di University Malaya. 

Pada tahun 2009, NHA telah dianugerahkan "Penulis Harapan" oleh Anugerah Persuratan, Majlis Bahasa Singapura. Noor Hasnah Adam telah mewakili Singapura dalam MASTERA di Bogor pada tahun 2003. Dia turut menulis dalam antologi cerpen "Menyeberang Selat" bersama-sama penulis Singapura Anuar Othman dan Saedah Buang beserta penulis mapan Malaysia Mana Sikana dan Mawar Shafei. 

Cerpen "Ini Cengkerang Kita" telah terpilih untuk "READ SINGAPORE!" pada tahun 2006 dan telah dialih bahasa ke bahasa Tamil, Cina dan Inggeris.

Berikut puisi pilihan karya Noor Hasnah Adam. 

ANUGERAH RASA

Kasih itu ikhlas.
Tak minta dibalas. Tak minta dibelas.
Cinta itu rasa.
Bukan dipaksa. Bukan mengikut masa.
Rindu itu bermadu.
Tak perlu dirayu. Hadirnya padu.
Sayang itu riang.
tak boleh dihadang. Tak boleh dilarang...

Andai kasih berubah pedih.
Andai cinta beralih lara.
Andai rindu bertukar hempedu.
Andai sayang bersilang malang.
Usah rasa dipalit noda
Usah akal tersekat waras

Anugerah rasa
hadirlah sentiasa...
Agar manusia berbunga cinta.
Agar hidup damai berjiwa

------------------------------------------------

Sumber foto: about.me/nooradam
Sumber tulisan: Akulah Musi 

0 comments: