Sunday, April 11, 2021

Salam Rimba Belalong Buana (Sajak Ini Terpilih Menerima Hadiah Kreatif Bahana 1996)


Karya Mohamad Rajab (Brunei Darussalam)

Jika kaudatang ke sini
pasti tercium wangi rimba
hutan Tropika Belalong Buana,

Jika kaudatang ke sini
pasti badanmu berbau rimba
nafasmu sungai rimba
rambutmu akar rimba
matamu buah rimba
kakimu pasak rimba
tanganmu dahan rimba
jarimu ranting rimba
hatimu wangi rimba
Belalong Buana.

Jika kaudatang ke sini
pasti kaudengar lagu rimba raya
lagunya rimba buana
iramanya wangi raya
getarnya setinggi sukma ria.

Jika kaudatang sini
datanglah datang
datanglah dengan salam rimba
datanglah dengan tertib
datanglah dengan sopan
datanglah dengan santun.

Jika kau nak turun
turunlah turun
turunlah dengan perlahan
turunlah dengan sopan
lalu
kaurebahkanlah badanmu
ke dada flora fauna
di jantungku ada cinta rimba menganga
di hatiku ada wangi rimba menyala
di mataku ada buah rimba menyirna
di kakiku ada pasak rimba gagah perkasa.

Jika kau nak pulang
pulanglah pulang
pulanglah dengan salam rimba
setanggi dupa flora fauna.

Hutan Tropika Belalong Buana
menyimpan sejuta rahsia rimba raya
ciptaan Tuhan Maha Kuasa.

Belalong ... Belalong oh ... Belalong
Kuala Belalong Belalong Buana.

16--18 November 1995
Pondok Lesong Kuala Belalong Field Studies Centre



Tentang Penyair



Anjung Seri Buana, M.A. Husna, Teratak Husna dan Jubah Hitam adalah antara nama pena yang pernah digunakan oleh Awang Mohammad bin Rajab. Lahir di Kuala Belait. Berkelulusan ijazah sarjana sastera kepujian dalam Pengajian Melayu, Universiti Malaya (1882--1985) dan Diploma Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (1986--1987). 

Sekarang berkhidmat di Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan sebagai Pegawai Pelajaran Kanan. Mohammad Rajap mula berkarya sekita tahun 1960-an dalam bidang puisi dan kritik sastera, kebanyakan karya beliau tersiar dalam akhbar Borneo Bulletin, Radio Brunei, Majalah Sekolah dan Bahana. Karya Mohammad Rajap juga pernah diterbitkan dalam antologi puisi
bersama Kosovo Bilakah Langitmu kembali Biru (2000), Kembara Merdeka Dua Dekad Meniti Usia (2004) dan Episod Tsunami: Peringatan Ilahi Sebuah Iktibar dan Pengajaran (2005), karya perseorangan Kumpulan Puisi Gamitan Anjung Sri Buana (2007), terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei. 

Selain aktif berkarya, Mohammad Rajab juga merupakan seorang pendeklamator puisi yang
berpotensi. Beliau pernah diundang untuk mendeklamasi puisi dalam kegiatan
kesusasteraan, kebudayaan, kenegaraan dan keagamaan. Di samping itu, beliau
juga sering dilantik selaku panel hakim dalam pertandingan/peraduan seperti penulisan syair, sajak, pantun, pidato, bahas, nasyid, lagu-lagu dakwah koir, mendeklamasi puisi dan panel penilai drama tv sama ada peringkat daerah dan negara.
-------------------------------------------------

Sumber tulisan dan foto: Majalah Sastra Pusat
Sumber ilustrasi: Pixabay


0 comments: